“APAKAH daya atau kuasa yang paling kuat di muka bumi ini? Kecerdikan? Kerja keras? Nasib? Bukan kesemua itu... Daya atau kuasa yang paling kuat di dunia ialah rasa cinta.
Cinta itu sendiri adalah satu kekuatan.
Jika anda mencintai apa jua yang anda lakukan, nescaya anda akan memperoleh sukses di luar jangkaan anda sendiri,” kata Bruno Hasson, pencipta, pengasas, pemilik dan pengusaha produk Sophie Paris.
Yang lebih menakjubkan Sophie Paris itu sendiri dicipta dan dipasarkan oleh Bruno di Indonesia dan menjadi produk fesyen yang pertama dipasarkan melalui sistem jualan langsung atau Multi-Level Marketing (MLM) sejak 1997. Sophie Paris Indonesia kini memiliki dua juta ahli dari Acheh sehingga ke Papua di wilayah yang paling hujung Indonesia.
Jualan produk Sophie Paris di Indonesia pernah mencecah AS$1 juta sehari dan jangka hayat rak produknya hanyalah 45 hari sahaja. Pada setiap 45 hari, Sophie Paris akan menerbitkan katalog baru dengan mencetak 300,000 naskhah buku katalog untuk lebih 400 stokisnya di seluruh Indonesia.
Pakaian dan beg tangan Sophie iaitu dua produk paling popular di Indonesia juga berubah setiap 45 hari. Ini dengan sendirinya mencetuskan keterujaan para peminat untuk menanti terbitnya katalog baru setiap 45 hari.
Kini Sophie Paris akan menerokai pasaran Malaysia dengan membuka outletnya yang pertama Januari depan.
Pengarah Urusan Sophie Paris Malaysia, Geoffrey Bagot ketika ditemui Mingguan mStar berkata, mereka membuat keputusan untuk menerokai pasaran Malaysia selepas menimba pengalaman di Indonesia, kemudiannya Filipina sembilan tahun yang lalu dan di Vietnam pada tahun lalu.

